Pelajar Hilang Selepas ke Tandas
SUNGAI PETANI – “Pulanglah, ibu tak marah. Kami cukup risaukan keadaan kakak. Kalau ada dekat sini, baliklah segera. Ibu bimbang sampai tak dapat nak lelapkan mata," luah Zarina Mohd Noor, 39, yang mencari anak keduanya, Fatin Afifah Mohd Fazli, 16, sejak disedari hilang, petang kelmarin.
Zarina berkata, ketika kejadian, Fatin Afifah bersama anak sulung, Mohd Amirul Mukhlis, 17, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di mana kedua-duanya belajar di sekolah berkenaan.
“Selalunya mereka letak motosikal di pekarangan masjid berhadapan sekolah, begitu juga semalam (kelmarin). Tetapi, Fatin Afifah memaklumkan dia sakit perut dan singgah di tandas masjid sementara abangnya terus masuk ke kelas,” katanya kepada Sinar Harian.
Zarina berkata, Mohd Amirul berasa hairan apabila rakan adiknya bertanyakan mengapa Fatin Afifah tidak masuk ke kelas ketika mahu pulang dari sekolah, kelmarin.
Menyedari keadaan itu, dia terus memaklumkan keluarga selain mencari adiknya di kawasan sekitar termasuk di rumah rakan serta hospital kerana bimbang sekiranya ditimpa sesuatu.
Menurutnya, anak keduanya cukup rapat dengan Mohd Amirul serta dua adik lain dan kehilangannya adalah satu tamparan buat mereka sekeluarga.
“Adik perempuan yang berusia 10 dan lima tahun asyik menangis dan bertanyakan kakak mereka.
“Saya juga bimbang jika dia terpengaruh dengan rakan luar mahupun mana-mana pihak tetapi sebelum ini kami cukup memantau pergerakannya sehingga ke mana-mana sahaja ditemani tanpa membiarkan dia sendiri,” katanya.
Katanya, dia tidak nampak sebarang perubahan ganjil ke atas anaknya malah mereka bertiga keluar bersama (bersama anak sulung) sehari sebelum kejadian tanpa sebarang masalah.
“Dia anak yang baik, selalunya dia tidak pernah bersikap begini. Saya merayu sangat sekiranya dia ternampak berita ini baliklah segera.
“Saya juga bimbang sekiranya dia diawasi mana-mana pihak, saya minta pulangkan anak saya dalam keadaan selamat,” katanya.
Laporan mengenai kehilangan mangsa dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, kelmarin.
Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Zarina di talian 017-5847659 atau suaminya, Fazli Fisol, 43, di talian 017-5520553. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment