Penyelarasan Cuti Semester IPTA
Sumber ni aku amik dari berita harian. Wah, bercuti sakan budak-budak IPTA ni. Klu kerja, sempat dapat 3bulan slip gaji dah..(pos ni da lama)
PUTRAJAYA: Penyelarasan kalendar akademik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara akan dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.
Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada bulan September berbanding Jun sebelum ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara rasional anjakan kalendar akademik ini adalah bagi memenuhi konsep perkongsian ilmu dengan masyarakat antarabangsa.
Katanya, dalam proses pengantarabangsaan pengajian tinggi Malaysia, pelajar IPTA perlu didedahkan dalam senario pengajian tinggi antarabangsa melalui pendedahan budaya serta amalan luar.
"Sebagai contoh pendedahan melalui Program Mobiliti Malaysia-Indonesia-Thailand adalah peluang terbaik untuk mendedahkan pelajar-pelajar kita kepada amalan luar.
"Namun peluang ini tidak dapat dimanfaatkan oleh pelajar tempatan disebabkan ketidaksamaan jadual dengan universiti di kedua-dua negara itu yang memulakan kalendar sesi akademik pada bulan September setiap tahun, menyamai amalan negara-negara maju," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata penyelarasan ini juga membolehkan pelajar IPT ternama dunia datang ke negara ini untuk mempelajari dan mendapat pemindahan kredit minimum satu semester selain daripada pertukaran pelajar biasa.
Justeru, katanya, penyelarasan kalendar dengan universiti ternama dunia boleh menguntungkan Malaysia untuk membolehkan pelajar antarabangsa berkongsi cara pembelajaran sekurang-kurangnya satu semester bersama pelajar tempatan.
Di bawah kalendar baru, katanya pihak kementerian telah menetapkan tarikh pendaftaran pelajar baru bagi sesi akademik 2011/2012 pada 25 Julai, namun sedikit perubahan dilakukan di mana sesi pendaftaran pelajar baru ditetapkan pada minggu pertama September 2011.
"Ia berikutan tempoh kuliah yang singkat antara sesi pendaftaran sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 31 Ogos," katanya.
Bagi pelajar lama katanya pihak kementerian memberikan fleksibiliti kepada IPTA untuk menentukan sama ada pelajar terbabit wajib mengikuti kalendar asal ataupun kalendar baru iaitu pada 1 Ogos, 2011.
Bagi sesi akademik 2012/2013 pendaftaran pelajar baru ditetapkan pada 13 Ogos, 2012 dan pelajar lama pada 20 Ogos manakala bagi sesi akademik 2013/2014 pelajar baru akan mendaftar pada 2 Sept, 2013 dan pelajar lama pada 9 September.
Mohamed Khaled berkata, penyelarasan kalendar akademik ini juga akan meluaskan akses kepada pelajar lepasan diploma politeknik di mana mereka boleh meneruskan pengajian ke IPTA dengan mengguna pakai keputusan akhir atau tamat pengajian mereka.
"Penyelarasan ini sekali gus memudahkan proses pemilihan di mana mereka juga boleh memasuki IPTA lebih awal dan tidak perlu menunggu sesi 2012 dan kehilangan masa selama setahun untuk memulakan pengajian," katanya.
Penyelarasan kalendar akademik ini terletak di bawa Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara atau "Fasa Pengukuhan" yang bermula pada 1 Januari lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2015. - BERNAMA
2 comments:
Post a Comment