Sebab Penyelidikan Komunikasi Perlu Mengetengahkan Kaedah Eksperimen

1:42 PM Nick 0 Comments




Setiap kaedah penyelidikan sama ada eksperimen, tinjauan, analisis kandungan mahupun kaedah lain, ia adalah sama penting dan berguna dalam memahami fenomenon komunikasi yang berlaku di sekeliling. Setiap kaedah mempunyai kelemahan dan kekuatan yang tersendiri. Tiada satu pun kaedah, termasuk kaedah eksperimen, yang dianggap sempurna tanpa sebarang kelemahan. Perkara ini perlu diakui sejujurnya. 
     Walau bagaimanapun, kaedah eksperimen perlu lebih diberi perhatian dalam kalangan sarjana komunikasi sekiranya mahu meningkatkan pengetahuan dan kesarjanaan komunikasi ke tanda aras yang lebih tinggi, iaitu dengan  membangunkan lebih banyak teori dalam bidang komunikasi. Pembangunan teori yang sedia ada dan pembinaan teori komunikasi baharu seharusnya menjadi objektif penyelidikan sebagaimana menurut Severin dan Tankard (2000: 11) bahawa “the ultimate goal of social research is theory”.  Begitu juga bagi Kerlinger (1967: 11) yang mengatakan bahawa “the basic aim of science is theory”. Pandangan dan pemahaman tentang maksud sebenar teori bergantung pada falsafah dan kesarjanaan yang dipegang sama ada kesarjanaan saintifik mahupun humanistik. Walau bagaimanapun, kesarjanaan penyelidikan saintifik melihat teori sebagai “satu set perhubungan antara pemboleh-pemboleh ubah yang digunakan bagi memahami dan menjangkakan sesuatu fenomena” (Kerlinger, 1967: 11). 
     Tidak dapat dinafikan bahawa eksperimen adalah antara kaedah yang paling sesuai digunakan untuk membina dan membangunkan teori yang sedia ada. Dalam sebarang pembentukan teori saintifik, kesahan dalaman adalah sangat penting bagi memastikan bahawa hanya pemboleh ubah yang diuji menyebabkan perubahan yang berlaku pada pemboleh ubah bersandar. Hubungan sebab-akibat ini cuma dapat dibuktikan melalui kaedah eksperimen yang terkawal. Teori saintifik hanya dapat dibuktikan berdasarkan hubungan sebab-akibat ini. Kebanyakan penyelidik termasuk pelajar pascasiswazah di Malaysia banyak menggunakan teori yang dimajukan oleh sarjana Barat seperti model Elaboration Likelihood, Teori Kebergantungan Media, Teori Kredibiliti Sumber, Teori Pembelajaran Sosial, dan Teori Kegunaan dan Kepuasan. Namun apakah sumbangan kita dalam membangunkan atau membina teori baharu? Oleh sebab itu, kita perlu beralih 
daripada melakukan penyelidikan-penyelidikan gunaan yang bersifat deskriptif kepada kajian-kajian yang berbentuk eksploratori yang berteraskan pembinaan dan pembangunan teori.
     Perkembangan keilmuan dan kesarjanaan bidang psikologi patut dijadikan pemangkin kepada usaha pembinaan dan pembangunan teori dalam bidang komunikasi. Teori-teori psikologi yang kebanyakan lahir daripada kaedah eksperimen begitu meluas diguna pakai dalam bidang-bidang lain seperti bidang pengurusan, pemasaran, komunikasi, pendidikan, dan lain-lain. Walaupun teoriteori psikologi kebanyakannya lahir daripada kaedah eksperimen, yang dikatakan tidak menggambarkan situasi sebenar, teori-teori ini terus diguna pakai secara meluas. Contohnya, Teori Peneguhan (Reinforcement Theory) yang dibangunkan oleh B. F. Skinner lahir daripada kaedah eksperimen. Teori ini bersandarkan hipotesis bahawa tingkah laku yang mendapat peneguhan positif akan berterusan, manakala tingkah laku yang mendapat peneguhan negatif tidak akan diulangi. Teori ini menggunakan anjing sebagai subjek kajian. Walaupun dengan menggunakan anjing, teori ini terus diterima dan diguna pakai, terutamanya apabila memperkatakan hal berkaitan motivasi.

You Might Also Like

0 comments:

Labels

2D (1) 3D (1) advertising (1) Automotive (2) bahaya (1) berita (4) Blackberry (1) bridal (1) buletin (3) contest (1) credit (1) dinner (2) eez (2) events (20) fakta (1) fesyen (2) forward (1) fotografi (61) funny (4) HDR (1) healthcare (6) hiburan (1) hukum (1) info (71) info sihat (6) islamik (3) jalan jalan (25) joke (7) joke ilmiah (2) journalism (1) Kajian (2) kaki gym (2) karaoke (4) KBU (1) keypoh (3) khasiat (2) kid song (1) Komunikasi Korporat (2) konvokesyen (2) Lawak (3) learn (9) Lirik (18) lyrics (10) makan (4) male talent (31) maskulin (5) modeling (2) modeling events (10) moto (4) music cover (1) my story (1) MyVi TT (3) Naruto Manga (6) news (2) oscar (1) party (1) Pendidikan (2) penjagaan diri (7) penjagaan lelaki (6) Perodua (1) personal (1) phone (1) Photographer (1) photoshoot (35) politik (3) press (2) rahsia lelaki (2) rahsia wanita (1) religious (1) research (2) resipi (1) santai (4) seks (1) selebriti (1) sinopsis filem (2) SKMM (4) story (34) suka-suka (15) talent (21) technology (2) TIPS (20) travelog (8) trip (7) troubleshooting (1) tutorial (2) wafi (1) wedding (12) wishes (2)